PERUTUSAN KPN SEMPENA SAMBUTAN PERINGATAN HARI POLIS KE-211 TAHUN 2018

Salam Sejahtera dan Salam 1Pasukan,

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izinNya jua, kita diberi peluang untuk menyambut Peringatan Hari Polis Ke-211 yang akan diraikan pada tanggal 25 Mac 2018.
Insya-Allah, kita akan meneruskan perjuangan kita, demi agama, bangsa dan negara, dengan semangat yang kekal kental dan penuh iltizam.

Dengan usia yang sebegitu matang, pastinya kita lebih mampu mencorakkan sistem penyampaian perkhidmatan yang berkesan, serta memenuhi kehendak stakeholders yang sentiasa berubah mengikut arus pemodenan dunia.

Dalam kita menyambut ulangtahun penubuhan Pasukan, kita tidak melupakan pengorbanan para pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan rakan-rakan kita yang telah terkorban, demi mempertahankan bumi Malaysia yang tercinta ini.

Sesungguhnya, apa yang kita kecapi pada hari ini, adalah hasil perjuangan mereka dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara.

Kepada seluruh warga PDRM, marilah sama-sama kita bulatkan tekad dan memperbaharui sumpah keramat serta lafaz ikrar taat setia untuk terus memberikan perkhidmatan kepolisan yang terbaik kepada masyarakat.

Kekalkanlah kerjasama yang erat serta kesepakatan yang padu antara polis dan masyarakat seiring dengan tema Hari Polis tahun ini, ‘Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

Selamat Menyambut Peringatan Hari Polis Ke-211 Tahun 2018.

(TAN SRI DATO’ SRI MOHAMAD FUZI BIN HARUN) IG
Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia