Polis risik, kumpul maklumat

Bersama kita mencegah jenayah. Laporkan kegiatan mereka sekiranya kita mengetahuinya.

POLIS menjalankan risikan dan mengumpul maklumat sama ada wujud kegiatan kumpulan kongsi gelap yang menjadikan tapak projek perumahan di pinggir bandar sebagai sasaran untuk memeras ugut atau meminta wang perlindungan di negeri ini.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujudnya kes seperti itu dan akan terus melakukan risikan serta mengambil tindakan supaya ia tidak berleluasa.

Katanya, pemantauan berterusan sentiasa dijalankan polis bagi mengekang jenayah membabitkan kongsi gelap termasuk tindakan yang sudah diambil sebelum ini mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

“Buat masa ini risikan yang dilakukan mendapati tidak wujud kegiatan ini dan ia mungkin disebabkan tindakan SOSMA dan POCA diambil terhadap 37 ahli kongsi gelap yang terbabit dalam pelbagai kes tahun lalu.

“Bagaimanapun, polis masih mengumpul maklumat dan risikan atas perkara ini yang tidak boleh dibiarkan dan tidak menolak kemungkinan perkara ini boleh berlaku di negeri ini sekiranya tindakan tidak diambil,” katanya ketika dihubungi.

Media hari ini melaporkan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa mendedahkan mengenai kewujudan aktiviti itu di kawasan pinggir bandar.

Rohaimi berkata, kawasan pinggir bandar di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Perak adalah antara lokasi panas yang menjadi sasaran kumpulan kongsi gelap itu.

Menurutnya, kumpulan kongsi gelap mensasarkan premis perniagaan yang tidak dikawal secara optimum dan majoriti mangsa akan mengikut kehendak mereka kerana khuatir kumpulan itu akan bertindak mencederakan atau merosakkan harta benda.