Lawan 3 penyamun

Johor Bahru: “Masyarakat perlu berani tampil membantu polis untuk banteras jenayah. Kerja banteras jenayah bukan kerja polis sahaja,” kata Syaidin Mohamed Suleiman, 36.

Guru Sekolah Menengah Agama Lughatul Arabiah, Tangkak itu berkata demikian kerana menganggap tugas membanteras jenayah perlu dilakukan semua pihak termasuk masyarakat.

Oleh sebab itu, pada jam 2.15 pagi, 17 November tahun lalu, dia nekad bergelut dengan tiga penjenayah yang memecah masuk rumah ibunya di Kampung Parit Pelampung, Gerisek, Tangkak.

Katanya, ketika kejadian, dia sedang tidur sebelum terkejut apabila terdengar jeritan adik, isteri dan ibunya yang menyedari kedatangan penjenayah dalam rumah mereka.

“Apabila saya keluar bilik, saya nampak dua lelaki bertopeng dan terus bergelut dengan mereka. Tidak lama kemudian, seorang lagi keluar dari bilik ibu dan dia sebelum itu mengacukan parang ke leher ibu saya.

“Saya kemudian terpaksa bergelut dengan ketiga-tiga penjenayah berkenaan dan berlanjutan dari dalam rumah hingga luar rumah selama hampir 30 minit.

“Saya hanya sempat mencapai alat pemecah sabut kelapa yang berada di luar rumah untuk mempertahankan diri walaupun akhirnya turut cedera dan kini kesan luka dan parut masih ada,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, semalam.

Syaidin berkata, dalam kejadian itu, seorang daripada penjenayah melarikan diri dipercayai menggunakan kenderaan yang dibawa manakala seorang lagi ditahan dalam semak selepas tindakan pantas jiran menghubungi polis.

Katanya, seorang lagi penjenayah ditahan jam 2 petang hari sama selepas ditemui penduduk kampung dalam kebun berdekatan.

Syaidin antara dua orang awam yang menerima Surat Penghargaan Ketua Polis Johor di atas keberanian mereka berdepan penjenayah sehingga tertangkapnya penjenayah berkenaan.

Turut menerima surat penghargaan yang disampaikan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd adalah penduduk Kampung Parit Bengkok, Tangkak, Md Yazid Kasrin, 59, yang turut membantu dalam insiden berkenaan.

Menurut Syaidin, surat penghargaan itu diharapkan menjadi penggalak kepada orang ramai supaya lebih berani membantu polis membanteras jenayah.

“Saya berharap ia akan menggalakkan orang ramai untuk lebih berani menghalang jenayah kerana kerja kawal jenayah ini bukan kerja polis sahaja sebaliknya semua pihak.

“Kalau semua ambil mudah, maka jenayah akan terus berlaku,” katanya. – HMetro